Vincent Chong Ying-Cern lahir 30 September 1979, dikenali ramai sebagai Vince, merupakan bintang nyanyian hasil rancangan televisyen realiti yang pertama dalam sejarah Malaysia dengan menjuarai musim pertama Akademi Fantasia. Vince ialah sorang artis R&B yang popular yang juga seorang penulis lagu. Kenamaan Vince mula menembusi peringkat antarabangsa setelah bergandingan dengan Nikki Gil dan Alicia Pan untuk merakam lagu tema High School Musical, Breaking Free (versi Asia).
Sejarah awal
Chong turut menimba pengalaman dalam pementasan gereja dan teater sebagai pengarah dan penulis skrip. Sewaktu di kolej Chong pernah membentuk kumpualn muzik bernam IBNOT. Semenjak itu dia telah menulis dan menggubah banyak lagu sebagai hobinya. Kumpulan IBNOT pernah mendendangkan pelbagai genre muzik seperti rock, R&B, jazz, alternatif dan sebagainya. Chong juga berpengalaman sebagai penyanyi latar bagi pelbagai artis ternama, sepertilah Ferhad[1] ketika Anugerah Industri Muzik pada tahun 2001.
Akademi Fantasia
Cubaan serius Chong yang pertama untuk menembusi industri muzik bermula di Astro Talent Quest (ATQ) 2002. Oleh sebab tidak fasih berbahasa Mandarin (beliau fasih berbahasa Kantonis, Inggeris dan Melayu), Vince terpaksa bersungguh-sungguh mempelajari dan menghafal kesemua lagu berbahasa Mandarin untuk kekal dalam pertandingan. Akhirnya Chong menjadi naib juara di Talent Quest.Pada tahun 2003 sekembalinya dari bercuti di Gold Coast, Australia, Vanessa dan Rueben (Burn AF1) menggalakkan beliau untuk menyertai Akademi Fantasia yang bakal dimulakan musim pertamanya. Chong dan Rueben menjalani uji bakat di Kuala Lumpur dan terus mencapai kedudukan dua belas finalis. Selama 9 minggu Chong dan rakan seperjuangannya terpaksa hidup terpisah dari sanak saudara masing-masing semata-mata untuk mencapai kejayaan. Vince sendiri mengalami kekusutan berbahasa Melayu pada minggu-minggu awal pertandingan.
Minggu demi minggu Chong akhirnya dinobatkan sebagai juara musim pertama Akademi Fantasia, lalu menerima pelawaan untuk berduet dengan artis ternama Nora bagi lagu Dilema '03 untuk album hits terbaik Nora.
Setelah "tamat pengajian" dari Akademi Fantasia, Chong dan sebelas rakan seperjuangannya mengadakan roadshow Akademi Fantasia sekitar Malaysia dan Brunei. Kumpulan 12 orang ini pernah ditemu bual oleh Azwan Ali dalam rancangannya Cit Cat Azwan. Para peminat mengundi kumpulan itu sebagai artis terbaru di Cit Cat Azwan Award pada tahun 2003.
Vince
Vince berputus untuk meninggalkan Maestro Talent untuk menjadi artis "independent" dengan menyertai EMI Malaysia. Perjalanan beliau disifatkan sebagai "perit" setelah rakan seperjuangan beliau ketika di AF, Khai, mengatasi beliau dengan melancarkan lagu "Dambaan Pilu". Namun, beliau terus cekal menghasilkan album sulungnya berjudul Vince yang dinanti ramai, termasuk single pertamanya Mengapa Harus Cinta?. Vince dipilih sebagai salah seorang artis untuk dimasukkan lagunya dalam Anugerah Juara Lagu, dan juga mendapat tempat ketiga terbaik di Shanghai Asian Music Festival 2004.Pada tahun 2004 dan 2005 populariti Vince makin bertambah setelah menerima beberapa angerah untuk pencapaian beliau dan beliau juga menerima tawaran untuk berlakon dalam Sembilu 2005 arahan Yusof Haslam yang disambut baik oleh peminat beliau.
Pada tahun 2005 Vince dipilih untuk menyanyikan salah sebuah lagu bagi runut bunyi filem Puteri Gunung Ledang berjudul Keranamu Kekasih.
Janji Vince
Pada tahun 2006 album keduanya Janji Vince dikeluarkan dengan sambutan bercampur-campur dari peminat dan pengulas muzik. Albm ini dikatakan jauh lebih baik berbanding album sebelumnya, namun turut menimbulkan kontroversi yang mana Vince menyebut perkataan bahasa Arab Taala ("yang maha esa", seperti yang dirujuk kepada Allah) dalam lagu Berkobar-bokar. Kemudian, komposer lagu tersebut, Yassin, menyatakan bahawa perkataan Taala ini bermaksud "marilah".Percayalah Sayang
Pada tahun 2007, Vince melancarkan album kompilasi Percayalah Sayang yang menampilkan lagu baru dan lagu dari dua album sebelumnya. Album ini dianggap sebagai album pertama Vince bagi pasaran serantau terutamanya Indonesia di mana beliau merakam kandungan baru dalam album ini serta mencari karya baru. Lagu-lagu baru dalam album ini termasuk Percayalah Sayang disifatkan sebagai lebih cenderung kepada rock alternatif. Pada tahun yang sama, beliau berduet dengan Jaclyn Victor untuk merakam sebuah lagu tema High School Musical 2.
Selepas itu, Vince berlepas ke Taiwan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebudayaan Cina di Taiwan untuk menelaah bahasa Mandarin selama dua tahun, serta berhasrat mengusahakan lagu berbahasa Mandarin. Sebelum ini, beliau juga pernah meluahkan hasrat untuk menghasilkan karya berbahasa Mandarin pada suatu hari kelak, bukan sahaja untuk menembusi pasaran berbahasa Cina malah juga untuk memenuhi hasrat datuk beliau sendiri yang hendak melihat cucunya menyanyi dalam bahasa ibundanya.[1] Bagaimanapun, beliau tidak berpeluang merakam album di sana, sebaliknnya menyertai pertandingan realiti One Million Star di sana.[2]